test

test

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap mampu untuk mengekang ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan dan menghindar daripada berlakunya kerajaan ‘tebuk atap’.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, pihak pembangkang masih lagi tidak habis dengan cerita mereka untuk menukar kerajaan maka sesuatu akta diperlukan untuk menghindarinya.

“Kita sedia maklum bahawa tidak stabilnya politik pada ketika ini berlaku kerana pihak pembangkang tidak habis dengan ceritanya untuk menukar kerajaan Persekutuan. Jadi, sebab itu dikatakan perlu ada sesuatu untuk menghindar perkara ini.

“Salah satu caranya adalah memperkenalkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap untuk mengekang ketidakstabilan ataupun permainan nombor menukar kerajaan. Tetapi masalahnya adalah kalau diadakan akta seperti ini besar kemungkinan pihak pembangkang tidak bersetuju.

“Ini kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan dan kuasa diberi kepada wakil rakyat untuk memilih menyokong perdana menteri seterusnya membentuk kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, untuk menghindarkan kuasa memilih perdana menteri jatuh kepada 222 orang ahli parlimen maka ianya dipindahkan kepada rakyat seperti di Indonesia dan Taiwan.

“Jadi, dalam hal ini mungkin dikatakan ianya tidak demokratik. Tetapi masalahnya adalah kalau kita ikut cara Indonesia, Taiwan atau Amerika Syarikat sekali pun, pemilihan pemimpin tertinggi adalah melalui undi rakyat secara langsung.

“Apa yang menjadi masalah sekarang adalah kerana kerenah segelintir ahli parlimen atau wakil rakyat … Akta Anti Lompat Parti yang masih perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Itu yang menjadi masalah.

“Memang untuk menghindarkan kuasa memilih perdana menteri jatuh kepada 222 orang ini, kita pindahkan kepada rakyat seperti di Indonesia dan Taiwan. Di Taiwan baru-baru ini, walaupun Presidennya hanya mendapat 40 peratus undi, tiada apa-apa yang boleh dilakukan kerana perlu tunggu empat atau lima tahun lagi untuk mengadakan pilihan raya,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dapatan kajian yang menyeluruh tersebut akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Untuk rekod, sebanyak 26 negara Eropah yang mengamalkan Westminister telah mengaplikasikan akta ini bagi menjaga kestabilan pemerintahan negara mereka, antaranya Itali, Jerman, Perancis, Sweden, New Zealand, Kanada dan Australia. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman